7 tuntutan MA63 ditunai dalam 2 tahun

SEJAK Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih tampuk pemerintahan sebagai Perdana Menteri pada November 2022, isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kembali menjadi fokus utama dalam agenda kerajaan.

Anwar telah menunjukkan komitmen dalam menunaikan janji kerajaan untuk memperbaiki hubungan antara Sabah, Sarawak dan kerajaan Persekutuan serta memastikan hak kedua-dua negeri ini ditegakkan.

Sejak penubuhan Malaysia, banyak tuntutan MA63 yang masih belum dipenuhi terutamanya melibatkan pembahagian kuasa dan autonomi negeri.

Namun di bawah pentadbiran Anwar, tujuh daripada 11 tuntutan utama MA63 berjaya diselesaikan, suatu pencapaian yang signifikan.

Antara pencapaian terbesar adalah penetapan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknikal.

Selain itu, pemindahan kuasa mengawal bekalan gas kepada Sabah dan Sarawak memberi kedua-dua negeri ini lebih kawalan terhadap sumber asli mereka, sekali gus meningkatkan potensi ekonomi setempat.

Bagi memastikan semua tuntutan MA63 dilaksanakan dengan berkesan, kerajaan menubuhkan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63).

**media[2899397]**

Majlis ini bertujuan untuk menyelaraskan pelaksanaan tuntutan yang masih tertangguh dan memastikannya dilaksanakan dengan adil dan telus. MTPMA63 bukan sahaja menjadi platform bagi kerajaan Persekutuan untuk memantau kemajuan, tetapi juga satu simbol pengiktirafan terhadap peranan Sabah dan Sarawak dalam negara.

Melalui majlis ini, kerajaan Persekutuan dapat berinteraksi secara langsung dengan pihak berkepentingan di Sabah dan Sarawak, mendengar isu-isu yang dibangkitkan dan mengambil langkah segera untuk menyelesaikan masalah yang timbul.

Namun, pelaksanaan penuh tuntutan MA63 masih menghadapi cabaran, terutamanya dalam memastikan perubahan struktur perundangan dan pentadbiran berjalan lancar.

Komitmen menyelesaikan isu MA63 adalah sebahagian daripada usaha yang lebih besar untuk mengukuhkan perpaduan dan keseimbangan pembangunan antara Semenanjung, Sabah, dan Sarawak.

Kejayaan menyelesaikan tuntutan MA63 menunjukkan bahawa kerajaan Persekutuan menghargai peranan Sabah dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia.

Penyelesaian ini juga mengingatkan kita bahawa Malaysia sebagai sebuah negara Persekutuan harus mengiktiraf kepentingan semua negeri terutamanya Sabah dan Sarawak yang mempunyai keperluan dan cabaran unik mereka.

Melalui tindakan ini, kerajaan memperlihatkan komitmennya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih seimbang dan inklusif di mana hak-hak semua negeri diiktiraf dan dihormati.

**media[2899395]**

Pencapaian ini bukan hanya memenuhi janji tertangguh, bahkan memberi keadilan kepada kedua-dua negeri ini dalam kerangka negara Malaysia yang lebih seimbang.

Secara keseluruhannya, pencapaian yang dicapai oleh Anwar sepanjang dua tahun ini dalam merealisasikan MA63 adalah langkah positif, meskipun masih terdapat banyak cabaran yang perlu dihadapi.

Pendekatan lebih inklusif dan fokus terhadap kepentingan Sabah dan Sarawak menunjukkan keseriusan beliau dalam menunaikan janji-janji yang terkandung dalam perjanjian tersebut.

*Profesor Madya Dr Zaini Othman ialah Felo Penyelidik Kanan Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia