SEJAK mengambil alih kuasa pada tahun 2022 selepas PRU15, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara konsisten berikrar untuk memerangi rasuah dan mempromosikan tadbir urus yang baik sebagai fokus utama pentadbirannya.
Namun, selepas dua tahun Kerajaan Madani, kemajuan dalam reformasi struktur terhadap undang-undang, dasar dan sistem yang memungkinkan serta mengukuhkan budaya rasuah dan kekebalan di Malaysia masih sangat terhad.
Terdapat beberapa reformasi undang-undang yang diperkenalkan dan dipuji pada pandangan pertama walaupun diakui masih terlalu awal untuk menilai keberkesanan langkah-langkah ini.
Namun, setelah diteliti dengan lebih mendalam, masih terdapat jurang yang memerlukan penambahbaikan.
Sebagai contoh, pelaksanaan Akta Syarikat (Pindaan) 2024 dan pelepasan dokumen panduan tambahan memperkenalkan rangka kerja keperluan pelaporan pemilikan faedah korporat.
Langkah ini menunjukkan peralihan positif ke arah ketelusan korporat yang lebih baik dan kawal selia yang lebih ketat.
Walau bagaimanapun, keberkesanan langkah ini terbatas kerana ketiadaan keperluan untuk daftar pemilik berfaedah, yang akan berada di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk dibuka kepada pemeriksaan umum.
Pindaan Akta Audit 1957 juga meluaskan skop bidang kuasa dan kuasa Ketua Audit Negara untuk membuat susulan ke atas audit.
Namun, tanpa takrifan undang-undang yang jelas mengenai apa yang dianggap sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pihak Eksekutif masih mempunyai budi bicara dalam menentukan syarikat mana yang akan diaudit oleh Ketua Audit Negara.
Oleh itu, terdapat kemungkinan syarikat yang menerima dana awam boleh terlepas daripada pengawasan yang berkesan.
Bidang reformasi penting lain yang berkaitan dengan usaha memerangi rasuah seperti pengenalan peraturan pembiayaan politik, undang-undang pengisytiharan aset, pindaan kepada akta perlindungan pemberi maklumat, pemisahan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, menghentikan pelantikan politik ke jawatan dalam GLC dan mendemokrasikan proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia – masih dalam pembangunan atau telah sepenuhnya diketepikan.
Berbeza dengan regresi yang dilihat dalam isu hak asasi manusia di Malaysia, terdapat kelumpuhan relatif dalam aspek ini. C4 ingin menegaskan bahawa ketiadaan reformasi struktur ini amat membimbangkan.
Secara efektif, tiada apa-apa yang dilakukan untuk menghalang seorang pegawai atasan lain daripada melakukan penyalahgunaan kuasa, penyelewengan kewangan dan pengaruh tidak wajar yang sama pada masa kini.
Ekosistem kleptokrasi masih subur dan jika kerajaan Anwar terus mengabaikan reformasi struktur, ini akan membuka jalan untuk munculnya ‘Najib baharu’ pada masa yang datang.
*Pushpan Murugiah ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4 Center)