DUA tahun lalu, dasar luar negara telah menunjukkan bukan sahaja kesinambungan tetapi juga anjakan strategik yang mencerminkan keperluan untuk beradaptasi dengan landskap geopolitik yang semakin kompleks.
Di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia menggariskan visi diplomatik yang menyeimbangkan kepentingan nasional dengan aspirasi untuk meneroka peluang baharu melalui pendekatan diplomasi yang lebih berani dan pragmatik.
Dalam tempoh ini, beberapa peristiwa utama dalam arena diplomasi antarabangsa telah membentuk dasar luar negara, mewujudkan peluang strategik dan juga membawa cabaran dalam menghadapi dinamika geopolitik.
**media[2899347]**
Landskap global kini menyaksikan peralihan menuju susunan kuasa yang lebih multipolar, di mana negara-negara seperti Amerika Syarikat (AS), China, Rusia, India dan sebagainya memainkan peranan dominan yang berbeza melalui pakatan seperti BRICS, rangka Indo-Pasifik dan sebagainya.
Pakatan-pakatan ini berfungsi sebagai pengimbang terhadap pengaruh tradisional, di mana ia penanda bahawa kuasa kini tidak lagi bersifat mutlak.
Dalam konteks ini, pentadbiran Anwar bukan sahaja menyusun semula keutamaan diplomatik Malaysia, tetapi turut mengambil langkah strategik untuk menyesuaikan diri dengan dinamika geopolitik yang semakin rumit.
Sebagai contoh, Malaysia di bawah Anwar menunjukkan keberanian strategik dengan menyertai inisiatif seperti BRICS, sebuah langkah yang menimbulkan perdebatan.
Langkah ini membuka peluang untuk memperluas sokongan ekonomi dan politik.
Langkah ini menandakan anjakan besar pendekatan luar negara yang lebih bebas untuk mengejar autonomi dalam menentukan hala tuju dasar luar negara.
Namun, transformasi geopolitik ini tidak hanya dipengaruhi oleh faktor luar tetapi juga oleh faktor domestik, terutamanya usaha beliau untuk memperkukuhkan kedudukan ekonomi negara dalam situasi global yang tidak menentu.
Dalam konteks ini, kestabilan politik domestik dan keperluan mendesak untuk menarik pelaburan asing adalah pertimbangan utama dalam setiap keputusan diplomatik yang diambil.
Secara keseluruhannya, Anwar telah menunjukkan pendekatan yang proaktif dalam dasar luar Malaysia, dengan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan landskap geopolitik global.
Penyertaan Malaysia dalam BRICS serta pendekatan seimbang dalam hubungan dengan kuasa-kuasa besar menonjolkan usaha Malaysia untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam dunia multipolar.
Namun, Malaysia tidak boleh mengabaikan kritikan terhadap beberapa keputusan diplomatik yang dibuat di bawah Anwar.
Isu-isu seperti krisis politik Myanmar menunjukkan bahawa Malaysia kadangkala dilihat sebagai tidak cukup tegas.
Dalam menghadapi ketegangan kuasa besar yang semakin meningkat, Malaysia perlu berhati-hati untuk mengekalkan keseimbangan dalam pendekatannya.
Jika gagal menguruskan hubungan luar dengan lebih berhati-hati, Malaysia berisiko kehilangan kepercayaan daripada rakan strategiknya dan berisiko terpinggir dalam percaturan geopolitik global.
*Profesor Madya Dr Khoo Ying Hooi ialah Pensyarah Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya