Giendam Jonathan Tait merupakan calon GPS bertanding di Parlimen P205 Saratok, Sarawak pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 menentang Ibil Jaya (Pakatan Harapan) dan juga Ali biju (Perikatan Nasional).
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk Saratok Giendam Jonathan Tait mengakui bahawa adalah satu tugas yang sukar untuk merampas kembali kawasan parlimen yang pernah dianggap sebagai kubu kuat Parti Demokratik Progresif (PDP).
Bagaimanapun, katanya sebagai anak kelahiran tempatan dan mendapat sokongan penuh daripada parti komponen GPS, beliau yakin mampu memenangi semula kerusi itu untuk GPS.
Giendam berkata, beliau memahami sepenuhnya tanggungjawab berat yang dipikul sebagai calon GPS dan bersedia untuk menghadapi cabaran yang mendatang.
Beliau merayu kepada penduduk Saratok untuk memberinya peluang untuk berkhidmat kepada mereka di bawah GPS dan berjanji untuk melakukan yang terbaik dengan pengalamannya sebagai seorang jurutera dan ahli perniagaan.
Jika beliau terpilih, Giendam berkata beliau akan berusaha untuk memenuhi aspirasi dan janji GPS khususnya yang dinyatakan dalam manifesto yang didedahkan Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semalam.
Beliau percaya misi itu boleh dicapai terutamanya dengan kerjasama padu daripada rakan pemimpin GPS dan ADUN Krian, Kalaka dan Kabong.