Datuk Armani Mahiruddin, 54, akan 'bertarung' di kubu kuat bekas ketua menteri Musa Aman, yang memegang kerusi DUN itu sejak 1994 tetapi tidak bertanding kali ini.
Pada pilihan raya ini, Armani yang juga adik kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin akan berdepan dalam pertandingan lima penjuru.
Armani akan mempertaruhkan pengalamannya sebagai bekas ketua Wanita UMNO Sabah, ahli dan pemimpin Wanita Umno Sungai Sibuga selama 22 tahun serta kedudukannya sebagai wanita pertama yang menjadi timbalan speaker Dewan Negara pada 9 Julai 2009 sehingga 21 Disember 2011.
Beliau juga pernah dilantik sebagai Senator bagi tempoh dua penggal (20 Disember 2005 - 19 Disember 2008) dan 21 Disember 2008 hingga tarikh dilantik menjadi Timbalan Yang DiPertua Dewan Negara.
Pada 22 Disember 2008, beliau mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh.
Armani juga pernah berkhidmat sebagai guru selama 17 tahun bermula dari 1978 sebelum meninggalkan dunia pendidikan pada 1995 untuk berkhidmat sepenuh masa kepada UMNO dan kini menyertai Warisan bersama-sama 200 anggota UMNO Sandakan pada Mei 2019, beberapa minggu selepas Shafie Apdal mengangkat sumpah sebagai ketua menteri.