Bertanding di kawasan baharu yang diwujudkan berikutan persempadanan semula ibarat 'meraba dalam kegelapan'.
Ini sebab, tiada statistik dan bukti sahih yang boleh dijadikan panduan apa yang penduduk di kawasan itu inginkan dan golongan bagaimana yang perlu disasarkan.
Namun nasib menyebelahi Hassan A Gani Pg Amir yang bertanding atas tiket Warisan bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik di bawah Parlimen Kalabakan apabila menang dengan memperoleh majoriti 522.
Beliau mengalahkan pencabar terdekat Abd Muis Picho daripada parti Perikatan Nasional yang mendapat 2,143 undi.
Turut bertanding dalam pertembungan tujuh penjuru itu adalah calon Parti Cinta Sabah (PCS), Abdull Samad Akui (504); calon Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Hassan Ibrahim (253) dan calon Bebas, Mohd Balbir Arjan (183).
Dua lagi calon yang bertanding adalah calon Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS),Baharuddin Basrie (140) dan seorang lagi calon Bebas, Juhuran Kalmin (90).