Larry Sng Wei Shien, memulakan karier politik ketika berusia 22 tahun apabila bertanding dan memenangi kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelagus pada 2001 hingga 2011.
Kemudian beliau meneruskan langkah dalam bidang politik dengan bertanding di kerusi Parlimen Julau pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 atas tiket Bebas. Ternyata usahanya tidak sia-sia, apabila menang dengan majoriti 1,931 selepas berjaya menewaskan penyandang Parlimen Julai dari Barisan Nasional, Joseph Salang Anak Gandum.
Bercerita mengenai perjalanan politik beliau, mula menyertai Parti Bansa Dayak Sarawak pada (2001–2004), kemudian mengambil keputusan menyertai Parti Rakyat Sarawak bermula 2004 hingga 2007. Namun pada 2007, beliau pro kepada Barisan Nasional sehingga 2012 sebelum lompat parti kepada Sarawak Workers Party (2012–2016).
Bagaimanapun jodoh dengan Sarawak Workers Party hanya mampu bertahan selama lima tahun sebelum mengisytiharkan dirinya tidak memihak kepada mana-mana parti dan bertanding atas tiket Bebas pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.
Beliau memenangi kerusi Parlimen Julau dan telah menyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi mengukuhkan kuasa dalam pentabiran kerajaan.
Namun pada 28 Februari 2021, Larry mengesahkan keluar daripada PKR berkuat kuasa serta-merta dan menyerahkan akuan bersumpah menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Beliau merupakan ahli perniagaan bergelar jutawan. Bapanya adalah bekas ahli Parlimen Julau satu penggal dari 1995 hingga 1999 dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus dari 1991 hingga 2001 malah cukup terkenal dalam dunia korporat.
Demi membantu pelajar dari keluarga kurang mampu, Tabung Pendidikan Larry Sng yang ditubuhkannya telah memberi manfaat kepada para pelajar di Pelagus dan Bukit Goram dengan jumlah pelaburan lebih daripada RM1juta.
Beliau juga disebut-sebut antara Ahli Parlimen terkaya di Sarawak setelah mengisytiharkan asetnya dan isteri bernilai sekitar RM11.78 juta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti yang dilaporkan di portal pengisytiharan aset pada November 2018.
Larry Sng Wei Shien sah memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Menurut keputusan rasmi, beliau yang juga penyandang Parlimen Julau meraih 9,159 undi meninggalkan pencabarnya yang lain dengan majoriti undi sebanyak 1,340.