Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi parlimen Lubok Antu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, Robert Pasang Alam meninggal dunia akibat kanser perut di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Umum Sarawak pada 27 Februari 2019.
Bekas Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Jabatan Peguam Negara yang berusia 52 tahun itu didakwa menghidapi kanser peringkat akhir sekitar tahun 2018.
Robert meninggalkan balu, Jeniah Aja dan dua orang anak.
Mendiang berasal dari Rumah Manai di Nanga San Panjai, Lubok Antu dan melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya dan Universiti Wollongong di Australia.
Robert menggantikan Datuk William Nyallau Badak dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) sebagai calon BN Lubok Antu, tewas kepada calon Bebas, Jugah Muyang pada PRU Ke-14 dalam pertarungan tiga penjuru.
Seorang lagi pencabarnya adalah calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga setiausaha kepada parti itu iaitu Nicholas Bawin Anggat.