AHMAD FAIZAL AZUMU

Maklumat Diri
Asal
Ipoh, Perak
Tarikh lahir
10/6/1970
Pasangan
Datin Seri Dr Nomee Ashikin Datuk Mohammed Radzi

Ahmad Faizal Azumu adalah calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen P63 Tambun pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Datuk Seri Ahmad Faizal Datuk Azumu merupakan Menteri Besar Perak ke-13. Beliau mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang pada waktu itu merupakan komponen Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau telah meletak jawatan selepas kehilangan sokongan dalam usul undi percaya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 4 Disember 2020.

Semasa Sidang DUN itu, ADUN Pengkalan Baru, Abdul Manap Hashim membawa usul undi percaya terhadap Menteri Besar Perak ke sidang Dewan Negeri Perak. 

Keputusan diumumkan oleh Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, 48 tidak menyokong Ahmad Faizal berbanding 10 orang ADUN yang menyokong usul itu manakala ada 1 undi rosak atau berkecuali. 

Hal ini menyebabkan pemerintahan beliau sebagai Menteri Besar Perak terhenti secara rasmi. 

Dilahirkan pada 10 Jun 1970, ahli politik pernah juga menjadi Menteri Besar Perak ke-12 selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan negeri Perak pada 12 Mei 2018.

Bagaimanapun, beliau meletak jawatan pada 10 Mac 2020 apabila Bersatu keluar daripada PH yang mengakibatkan kerajaan PH tergugur di Perak.

Namun beliau dilantik semula sebagai Menteri Besar Perak ke 13 dan mengangkat sumpah jawatan pada 13 Mac 2020 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak selepas Perikatan Nasional (PN) memerintah.

Bercerita kisah perjalanan politiknya, beliau mengikut jejak langkah bapanya, Allahyarham Datuk Azumu Tak, seorang veteran UMNO.

Beliau pada tahun 2011 hingga 2013, memulakan kerjaya politik sebagai Pegawai Khas kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai. 

Dari tahun 2013 hingga 2016, Ahmad Faizal menjadi Pegawai Kanan Khas kepada Menteri Besar Kedah iaitu Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Kemudian pada 2016, beliau dilantik Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat.

Selepas umum keluar UMNO, Ahmad Faizal menyertai Bersatu dan dilantik sebagai Pengerusi PH dan Pengerusi Bersatu bagi negeri Perak. 

Beliau telah memenangi kerusi Timbalan Presiden pada Pemilihan Agung Tahunan Bersatu 2020.

Dalam PRU-14, Ahmad Faizal menang DUN Chenderiang mengalahkan calon BN, Choong Shin Heng dan calon PAS, Nordin Hassan dengan majoriti 39 undi.

Di peringkat Parlimen pula, Ahmad Faizal menang di kawasan Parlimen Tambun menewaskan calon BN, Ahmad Husni Hanadzlah dan calon PAS, Ibrahim Zakaria dengan majoriti 5,320 undi.

Ahmad Faizal pernah mendapat pendidikan dalam bidang Pengajian Perniagaan di Universiti Edith Cowan, Perth, Australia namun gagal menamatkan pengajian.

Menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Cator Avenue dan Sekolah Menengah Anderson Ipoh, Perak.

 

Pencapaian
Kerjaya:

Jawatan dalam kerajaan;

  • Penasihat Khas Perdana Menteri bertaraf Menteri
  • Menteri Besar Perak ke 13 (13 Mac 2020- 6 Disember 2020)
  • Menteri Besar Perak ke 12 (12 Mei 2018-10 Mac 2020)
  • EXCO Kewangan, Keselamatan, Tanah, Badan Berkanun (GLC), Sumber Asli dan Perancangan Ekonomi (13 Mac 2020-6 Disember 2020)
  • Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Keselamatan, Tanah, Badan Berkanun (GLC), Sumber Asli dan Perancangan Ekonomi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.

Jawatan dalam politik;

  • Timbalan Presiden Bersatu pusat (Ogos 2020-kini)
  • Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (Ogos 2020-kini)
  • Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Perak (2016-kini)
Pendidikan:
  • Sekolah Rendah Kebangsaan Cator Avenue
  • Sekolah Menengah Anderson Ipoh, Perak
Penglibatan Politik
Manifesto:
Parti Gabungan: Parti Perikatan Nasional
Parti: PPBM/BERSATU
Pilihan Raya Umum Terbaru: PRU15

Kerusi Bertanding PARLIMEN:
  • PRU14- P63 Tambun
  • PRU15- P63 Tambun

Kerusi Bertanding DUN:
  • PRU14- P72 Tapah N47 Chenderiang

Video Berkaitan AHMAD FAIZAL AZUMU