Kekal menang selama empat penggal berturut-turut menjadikan Datuk Seri Ahmad Said sebagai calon yang sukar ditandingi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal di bawah Parlimen Kemaman.
Bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) turut membuktikan beliau 'gergasi' parti yang berpengaruh di kawasan itu.
Pernah menjadi Menteri Besar Terengganu pada 2008, beliau mengalahkan calon Pas, Hazri Jusoh (8,280) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 (PRU14) dengan mendapat undian 9,545.
Tatkala BN tersungkur di bumi Terengganu, Ahmad berjaya kekal menakluki kerusi dengan memperoleh majoriti 1,265 dalam pertembungan tiga penjuru.
Turut bertanding, calon Pakatan Harapan, Wan Marzuki Wan Sembok yang memperoleh 1,472 undian.
Pada Ogos 2023, Ahmad Said bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi N30 Kijal dalam PRN Terengganu.
Dilahirkan pada 15 Februari 1957, beliau yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Politik dari USM merupakan bekas pelajar SMK Chukai, Kemaman.
Bakat kepimpinannya terserlah ketika zaman sekolah lagi apabila dilantik sebagai Kapten Asrama SMK Chukai.
Beliau kemudiannya menyambung pelajaran ke tingkatan enam di Maktab Adabi, Kuala Terengganu sebelum menyambung pengajian ke USM.
Kerjaya politiknya bermula ketika usia 19 tahun lagi apabila dilantik sebagai Naib Ketua UMNO Telok Kalong pada 1975.
Kini, beliau merupakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu.
Pernah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah Kemaman pada 1982 sebelum dilantik sebagai Pegawai Pentadbir Tanah II Kemaman tiga tahun kemudian.
Anak jati Teluk Kalong ini berkahwin dengan Datin Seri Norliza Mahmud dan dikurniakan lapan cahaya mata sebagai penyeri hidup.