Datuk Yong Teck Lee merupakan Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP). Beliau juga merupakan bekas Ketua Menteri Sabah di bawah sistem penggiliran Ketua Menteri Sabah. Sebelum itu beliau adalah Timbalan Ketua Menteri Sabah. Beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Likas dari 1985 - 2002 dan Ahli Parlimen Gaya dari 1999 hingga 2002.
Beliau berkelulusan LLB (Hons) University of London dan Barrister-at-Law dari Lincoln's Inn London, United Kingdom.
Beliau dilahirkan pada 3 Oktober 1958 (umur 62) dan berkahwin dengan Datin Seri Panglima Stella Kong Yin Kiun.
Pada 1994, Yong menjadikan 'hilang kepercayaan' sebagai alasan meninggalkan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan, yang bertanggungjawab membawanya masuk dalam politik.
Beliau kemudian mengetuai sekumpulan Ahli Parlimen dan ADUN berbangsa Cina daripada PBS, membentuk Parti Maju Sabah (SAPP).
Pada 20 Januari 1994, Yong bersama Datuk Yee Lung Fook dan Datuk Tham Nyip Shen ke Kuala Lumpur untuk mendaftarkan SAPP sebagai parti dengan Yong bertindak selaku Presiden Penaja. Pada 21 Januari 1994, pendaftaran SAPP diluluskan Pendaftar Pertubuhan sebagai parti politik baru manakala pada 22 Januari 1994, Yong sah sebagai Presiden SAPP pertama hingga hari ini.