Meskipun pernah mengalami tembakan gas pemedih mata dan dikejar Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) semasa menyertai perhimpunan BERSIH 2 dan 3, Natrah Ismail tidak gentar malah terus memperjuangkan keadilan bersama parti PKR.
Pesara guru ini pertama kali dicalonkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan berjaya membawa kemenangan. Beliau memperoleh 19,559 undian ketika menentang Ayub Rahmat daripada parti Barisan Nasional yang mendapat 18,278 undi. Majoriti undi sebanyak 1,281.
Beliau kini merupakan Ahli Parlimen Sekijang Johor sejak 2018.
Pada 2009, Natrah mula bergiat aktif dalam politik dan pernah dilantik sebagai Timbalan Ketua Cabang Sekijang. Pada 2011, beliau kemudian diberi kepercayaan memegang jawatan Ketua Wanita PKR Johor dan EXCO Wanita PKR Pusat.
Beliau juga telah terlibat dalam kerja-kerja Pilihan Raya Kecil (PRK) di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Pada 2013, beliau pernah bertanding sebagai calon PRU13 di DUN Kemelah namun tewas. Seterusnya pada 2014, beliau dilantik sebagai Ketua Cabang Segamat (oleh Pengerusi PKR Negeri Johor Datuk Chua Jui Meng).
Setahun kemudian, iaitu 2015, beliau bertanding dalam pemilihan parti untuk jawatan Pengerusi Cabang Segamat dan menang tanpa bertanding.
Kini Natrah, dilantik Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Negeri Johor dan AJK Biro Politik Keadilan Johor.
Natrah dilahirkan pada 14 September 1950 mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Canossian Convent, seterusnya melanjutkan pengajian peringkat Tingkatan Enam di Sekolah Tinggi Muar.
Pada 1978, anak watan Kampung Lubok Batu Segamat ini berjaya menamatkan latihan perguruan (PPAK) di Maktab Perguruan Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan.
Seterusnya, beliau memperoleh Diploma Pendidikan dan mengajar dalam mata pelajaran bahasa Inggeris.
Dalam pada itu, Natrah pernah dilantik sebagai jurulatih bagi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) Johor pada 2002 hingga 2003.
Semasa dalam perkhidmatan guru, beliau pernah memegang jawatan Naib Pengerusi Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (KPPK)/NUTP Johor, EXCO NUTP/KPPK Malaysia dan Penolong Setiausaha Wanita NUTP/KPPK Malaysia.
Selain itu, beliau juga menyukai kerja-kerja sukarelawan dan kebajikan malah pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Juvana Daerah Segamat, AJK Pasukan Pelindung Kanak-Kanak Daerah Segamat dan Penasihat Mahkamah Kanak-Kanak Daerah Segamat.
Pelbagai anugerah diterima bagi menghargai jasa dan pengorbanan beliau dalam dunia pendidikan sebelum bersara pada 2006. Antara anugerah, ialah Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) tahun 1995 dan 2005.
Pada 2007 hingga 2008, beliau menjadi Pensyarah Bahasa Inggeris di Felda English Language Centre (FELC) Taman Yayasan, Segamat.