Bekas guru Maahad Darul Quran (MDQ) Rusila, Sulaiman Sulong menyandang Timbalan EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu.
Beliau merupakan ADUN Pengkalan Berangan selama sepenggal berpengalaman luas dalam bidang pendidikan dilahirkan pada 13 April 1976.
Sulaiman mendapat pendidikan tertinggi dengan kelayakan akademik lulusan Universiti al-Azhar, Mesir Cawangan Damanhour pada tahun 1997 hingga 2000.
Beliau mula menceburi bidang politik ketika zaman mudanya dan telah diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pemuda Pas kawasan Marang pada tahun 2015 hingga 2017.
Setiausaha Pas Kawasan Marang ini juga dilantik Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Pengkalan Berangan.
Berusia 45 tahun, bekas Ketua Penyelaras Pemuda Pas Pengkalan Berangan ini juga aktif dalam aktiviti kebajikan sosial dan kemasyarakatan.
Beliau pernah menyandang jawatan Ahli Lembaga Hakim Pelawat Penjara Terengganu dan Ahli Lembaga Pengarah Muzium Terengganu.
Semasa Pilihan Raya Umum Ke- 14, Sulaiman pertama kali bertanding di kerusi DUN Pengkalan Berangan dan membawa kemenangan buat parti Pas.
Sulaiman memperoleh 11,896 undian ketika menentang A Latiff Awang daripada parti Barisan Nasional (BN) yang mendapat 11,406 undi. Majoriti undi sebanyak 490.
Pada Ogos 2023, beliau bertanding sebagai calon Perikatan Nasional (PN) N20 Pengkalan Berangan pada PRN Terengganu.