TAJUDDIN ABDUL RAHMAN

Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman merupakan Ahli Parlimen Pasir Salak selama tiga penggal dari parti Barisan Nasional (BN).

Dilahirkan pada 17 Januari 1948, beliau pernah menjadi pengarah strategi pilihan raya UMNO dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO (dilantik).

Bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perak, Teluk Intan, kemudian mendapat Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya.

Veteran UMNO ini telah berkecimpung dalam politik sejak awal 1980-an lagi di Pekan Rabu, Chenderong Balai, Kampung Gajah, Pasir Salak dan Teluk Intan. 

Kemudian anak jati kampung Gajah, Perak ini dilantik menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Salak (1982-1988)dan Exco Pergerakan Pemuda UMNO dari 1986-1988.

Pada 1987, beliau dan barisan pemuda UMNO berhimpun di Stadium TPCA , Kampung Baru, Kuala Lumpur. 

Berikutan itu, beliau ditahan ISA dalam Operasi Lalang bersama Ibrahim Ali, Fahmi Ibrahim dan lain-lain kerana lantang bersuara  membandingkan perjuangan UMNO dengan perjuangan Datuk Maharaja Lela menentang J.W.W. Birch.

Pada 1988 setelah UMNO Baru ditubuhkan, beliau dilarang menyertai UMNO semula kerana dituduh menyertai Semangat 46. 

Bagaimanapun, pada 1990 beliau diterima semula sebagai ahli UMNO setelah tuduhan tersebut tidak berasas.

Tahun 1995 beliau dipecat oleh Majlis Tertinggi UMNO kerana terlibat dalam politik wang RM6 juta untuk merebut jawatan ketua bahagian Pasir Salak yang ketika itu disandang oleh Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib.

Ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri dan menyokong kuat Tan Sri Ramli Ngah Talib. 

Pada 1998 beliau diterima semula menyertai UMNO tanpa syarat dan dipilih sebagai Timbalan Ketua UMNO Pasir Salak tanpa bertanding pada 2000.

Dalam politik UMNO Pasir Salak, beliau bergabung dengan Datuk Megat Junid Megat Ayob menentang Tan Sri Ramli Ngah Talib. 

Dalam pilihan raya ke 2004 beliau mengalahkan calon PAS Ustaz Mustafa Shaari di DUN Kampung Gajah, Perak. Dalam perhimpunan UMNO pada September 2004, beliau dipilih oleh UMNO Perak untuk membahaskan usul ekonomi.

Pada pilihan raya 2008 beliau mengalahkan calon dari Parti Keadilan Rakyat, Mustaffa Kamil Ayub - PKR di parlimen Pasir Salak dengan menang majoriti sebanyak 2,688 undi. 

Tajuddin memperolehi 16,928 undi berbanding lawannya memperolehi hanya 14,240 undi.

Pada 22 September 2008, Tajuddin telah dilantik menjadi Pengerusi Felcra, sebuah syarikat GLC milik kerajaan untuk memulihkan tanah terbiar seperti di sepanjang Sungai Perak dan di seluruh negara. 

Tanah terbiar ini hasil daripada kebun kecil getah tua yang tidak lagi ekonomikal dan diganti dengan kelapa sawit . Sementara tanah baru ditanam dengan padi dan koko secara sistematik seperti Seberang Perak, Perak. 

Beliau juga telah mengasaskan TAJ Kolej yang beroperasi di Felda Trolak, Behrang, Perak.

Seterusnya, pada PRU14, Tajuddin menang dengan mendapat 20,003 undian ketika menentang Salihuddin Radin Sumadi daripada parti Pakatan Harapan yang mendapat 12,291 undi dengan majoriti undi sebanyak 7,712.


 

 

Pencapaian
Kerjaya:
  • Ahli Parlimen Pasir Salak (2008-kini)
  • Pengerusi Felcra (2008)
  • Pengasas TAJ Kolej Felda Trolak Perak

Jawatan disandang dalam politik:

  • Timbalan Ketua UMNO Pasir Salak (2000)
  • Pengarah strategi pilihan raya UMNO 
  • Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO (dilantik)
  • Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Salak (1982-1988)
  • EXCO Pergerakan Pemuda UMNO (1986-1988)
Pendidikan:
  • Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perak, Teluk Intan
Penglibatan Politik
Manifesto:
Parti Gabungan: Barisan Nasional
Parti: UMNO
Pilihan Raya Umum Terbaru: PRU14

Kerusi Bertanding PARLIMEN:
  • PRU12- P73 Pasir Salak
  • PRU13- P73 Pasir Salak
  • PRU14- P73 Pasir Salak

Kerusi Bertanding DUN:
  • PRU11- P73 Pasir Salak N49 Kampong Gajah

Artikel Berkaitan TAJUDDIN ABDUL RAHMAN