Selama tiga penggal memegang DUN Kahang, Johor, R Vidyananthan mewakili Barisan Nasional membuktikan dirinya memiliki kreadibiliti sebagai pemimpin selain berjiwa rakyat membantu golongan memerlukan dan mengutamakan kebajikan masyarakat.
Meskipun pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), majoriti berkurangan iaitu 2,861 undian berbanding pada PRU13 mendapat majoriti 7,801, namun beliau berjaya mengekalkan momentum di DUN Kahang dengan mendapat 10,768 undian ketika menentang Noorlihan Ariffin daripada parti Pakatan Harapan yang mendapat 7,907 undi.
Beliau kini diberi tanggungjawab dalam portfolio EXCO Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar.
Bekas EXCO Perpaduan dan Sumber Manusia ini juga pernah menjadi Ahli Majlis Perbandaran Batu Pahat selama setahun pada 2007 hingga 2008.
Vidyananthan sebelum menceburi bidang politik, merupakan seorang peguam dan memiliki Sijil Amalan Guaman dari Universiti Malaya pada 1999 kemudian melanjutkan pengajian dalam Sarjana Pentadbiran Perniagaan di University of Lincolnshire, Humberside United Kingdom.
Seterusnya beliau melanjutkan pengajian di University of Wolverhampton United Kingdom dengan kelayakan akademik Ijazah Perundangan dan ke Maktab Sultan Abu Bakar (English College) Johor Bahru pada tahun 1986 hingga 1990.
Dalam peringkat politik, beliau kini merupakan Pengerusi MIC Johor merangkap Ahli Majlis Tertinggi MIC Pusat.
Ketua Bahagian MIC Batu Pahat ini juga pernah menjadi Setiausaha Badan Perhubungan MIC Johor, Timbalan Ketua Bahagian MIC Batu Pahat dan Bendahari Badan Perhubungan MIC Johor.
Bukan itu sahaja pengalaman luas dalam bidang politik dan bermula sejak zaman mudanya, beliau juga pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Pemuda MIC Johor, Setiausaha Pemuda MIC Johor dan Ketua Pemuda MIC Bahagian Sri Gading.